Berkenan menyaksikan sesi latihan DPMM FC



Oleh : Aimi Sani / Foto : Mohamad Azmi Haji Awang Damit, Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid





JERUDONG, Selasa, 3 Februari. - Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri, juga selaku Pengerusi DPMM FC berkenan berangkat menyertai Sesi Bergambar Ramai dan Ramah Mesra Bersama DPMM FC di Stadium Mini, Jerudong, hari ini.


Keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dijunjung oleh Timbalan Pengerusi DPMM FC, Yang Amat Mulia Pengiran Maharaja Setia Laila Diraja Sahibul Irshad Pengiran Anak Haji Abdul Rahim bin Pengiran Indera Mahkota Pengiran Anak (Dr.) Kemaludin Al-Haj.


Sejurus selesai sesi bergambar ramai, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota berkenan menerima junjung ziarah daripada pemain dan pegawai DPMM FC dan seterusnya berkenan menyaksikan sesi latihan.


DPMM FC dijangka akan meneruskan saingan bagi Piala Malaysia pada Sabtu ini, 7 Februari 2026 pada pukul 8.15 malam di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas menentang Kuching City FC. DPMM FC telah ditubuhkan pada tahun 2000, terdiri daripada 28 pemain iaitu 16 pemain tempatan dan 12 pemain import.


Close